Derma Untuk Dana PRU 13

Tuesday, October 18, 2011

Keturunan Orang Asli Tidak Dicatat dalam IC




Kerajaan BN ternyata bertindak amat keterlaluan apabila terus mengenepikan faktor keturunan di dalam MyKad Orang Asli di Semenanjung Malaysia sejak dulu hingga kini.

Realiti itu terserlah apabila di dalam MyKad setiap Orang Asli di Semenanjung, khususnya bagi data keturunan, hanyalah dicatatkan huruf "DLL" yang bermaksud "Dan Lain-Lain".

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, perkara itu nyata berbeza berbanding pemilik-pemilik IC kaum-kaum lain di negara ini yang dicatatkan dengan jelas di dalam setiap MyKad masing-masing.

Menurut beliau, malah perkara itu juga turut berbeza berbanding pemilik-pemilik IC keturunan Orang Asli di Sabah dan Sarawak yang turut dicatatkan dengan jelas keturunan masing-masing di dalam setiap MyKad kaum-kaum terbabit.

Katanya, tindakan mengenepikan faktor keturunan di dalam IC Orang Asli di Semenanjung jelas bertentangan dengan asas hak asasi manusia dan hak asasi sesuatu kaum yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak kerajaan.

"Selain itu, ia juga merupakan satu ketidakadilan terhadap keturunan itu, sehingga menyebkan Orang Asli sendiri hairan dan tertanya-tanya kenapa mereka diperlakukan seperti itu," katanya pada satu perjumpaan dengan Harakahdaily dan beberapa media di pejabatnya, di sini.

Ketiadaan data keturunan yang jelas di dalam MyKad, menurut beliau, boleh menyebabkan pihak lain tidak mengenali dengan nyata keturunan pemilik IC terbabit.

Katanya, malah lebih jauh dari itu, di kalangan Orang Asli itu sendiri turut mengalami kepayahan untuk mengenali sama ada seseorang itu dari keturunan mereka atau sebaliknya jika tidak diakui secara jujur oleh individu terbabit.

"Orang Asli seperti juga keturunan-keturunan lain di negara ini, malah di dunia ini, sememangnya ingin mempertahankan keturunan mereka sendiri bagi mengekalkan kesinambungan kaumnya," katanya.

Hakikat tersebut, jelasnya, tidak dapat dinafikan oleh sebarang pihak dan ia sewajarnya diterima sebagai hak asasi mereka yang perlu dihormati oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak lain.

"Tetapi dengan hanya dicatatkan "DLL" pada MyKad mereka akan menyebabkan keturunan Orang Asli khususnya di Semenanjung Malaysia akan kehilangan identiti mereka sendiri suatu masa nanti.

"Hakikat itu tentunya tidak boleh diterima oleh mereka. Itulah sebabnya mereka sering mengadu kepada pihak Suhakam mengenai perkara itu untuk diberikan perhatian oleh pihak kerajaan," tegasnya.

Di pihak Suhakam, tegas beliau, perkara itu sememangnya telah dipanjangkan kepada pihak-pihak terbabit untuk diambil tindakan yang sewajarnya sejak beberapa tahun lalu.

"Saya berharap agar perkara itu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan demi survival kaum Orang Asli itu sendiri dan keadilan.

"Jika terhadap kaum-kaum lain di negara ini pihak kerajaan boleh bersikap adil dalam hal ini, kenapa pula terhadap kaum Orang Asli di sebaliknya," katanya.

Sedangkan keturunan Orang Asli atau turut dikenali sebagai Orang Asal itu banyak, katanya, antaranya termasuk Senoi dan sebagainya.

"Jadi setiap keturunan mereka itu sama ada Senoi dan suku-suku Orang Asli lain sepatutnya dinyatakan dengan jelas di dalam IC mereka bagi membolehkan keturunan mereka juga terjaga dengan baik seperti kaum-kaum lain di negara ini.

"Kini telah sampai masanya untuk pihak kerajaan mengambil langkah bijak dan adil dalam hal ini setelah sekian lama perkara itu terabai," ujar beliau.


No comments: