Derma Untuk Dana PRU 13

Tuesday, October 18, 2011

M. Karathu Berundur...


Datuk M. Karathu
Datuk M. Karathu dilaporkan akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Jurulatih Kelantan selepas tempoh kontraknya bersama skuad bola sepak The Red Warriors itu tamat November ini.

Menurut Karathu, ini adalah masa yang sesuai baginya untuk meluangkan masa bersama dengan keluarga selepas sekian lama menumpukan kepada kerjaya kejurulatihan bola sepak.

“Sudah sampai masanya bagi saya memikirkan untuk berehat bersama keluarga yang saya tinggalkan demi karier bola sepak selama ini. Kelantan sangat dekat di hati saya. Terima kasih semua,” kata Karathu seperti dipetik dari Bernama.

Karathu, 68, pernah melatih skuad yang sama pada musim 1993 dan pencapaian terbaik ketika itu, beliau berjaya membawa Kelantan mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

Pada musim ini, Karathu yang mengambil alih tempat B Sathianathan yang digantung enam bulan sebelum ini, telah berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super serta naib johan Piala FA.

Namun, Karathu dilihat mahu berundur selepas gagal membawa Kelantan mara ke separuh akhir Piala Malaysia sekaligus meranapkan impian untuk mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu pada musim ini.

Kelantan sekadar mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2011 selepas tewas kepada musuh tradisinya, Terengganu dengan agregat 3-5.

“Saya berpuas hati dengan dua kemenangan selama semusim ini, walaupun gagal membawa Kelantan ke final Piala Malaysia sekali lagi,” katanya yang menafikan menerima tawaran pasukan lain, sebaliknya memberi alasan mahu berehat bersama keluarga.

Sementara itu, bagi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Rosmadi Ismail, beliau terkejut dengan keputusan Karathu dan terpaksa akur jika benar Karathu betul-betul berhasrat melepaskan jawatannya.

“KAFA akan membincangkan peletakan jawatan Karathu, jika benar jurulatih itu mahu melepaskan jawatan dan menghantar surat.

“Datuk Karathu telah banyak berjasa kepada Kelantan dan kita sangat berpuas hati dengan komitmen beliau,” katanya.

Khabar angin menyatakan bekas jurulatih Kelantan sebelum ini, Peter James Butler disebut-sebut sebagai pengganti Karathu namun ianya belum disahkan pihak KAFA.

Menurut Rosmadi, KAFA masih lagi meneliti nama-nama yang akan mengisi kerusi panas itu.

No comments: