Derma Untuk Dana PRU 13

Tuesday, November 20, 2012

Anak Penasihat Petronas dapat "anugerah projek" diseret ke SPRM

KOTA BHARU: Gara-gara anak Penasihat Petronas mendapat anugerah projek carigali bernilai ratusan juta di perairan Kelantan, kumpulan anak-anak muda di sini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SapuraKencana yang ada kaitan dengan Datuk Mokhzani Mahathir dikatakan mendapat projek bernilai RM835.8 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd dan HESS Exploration and Production Malaysia BV.

Anak bekas perdana menteri itu merupakan Naib Pengerusi SapuraKencana.

Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti - R) mengesyaki wujud unsur-unsur tidak sihat di atas anugerah projek terbabit.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, R merujuk laporan kenyataan media Petronas yang menyebut Tun Dr Mahathir merupakan penasihat Petronas sehingga sekarang.

Kata beliau projek berkenaan membabitkan pengeluaran gas dari Medan Bunga Kamelia dan Blok PM301 yang terletak 150 km dari pantai Kelantan.

Sapura Kencana Petroleum Bhd dianugerah projek terbabit bermula Oktober 2012 sehingga April 2016.

“Kami serah memorandum kepada SPRM berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan badan itu menyiasat skandal minyak membabitkan keluarga Dr Mahathir.

“SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas Petronas dan Dr Mahathir kerana kelihatan ada unsur-unsur tidak sihat berlaku,” katanya selepas menyerah memorandum tersebut kelmarin.

Menurutnya R menuntut SPRM menjalankan siasatan dalam tempoh 30 hari kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi dan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengeluarkan apa-apa jawapan, R akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan SPRM dan membawa kes berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Nazri turut diiringi 50 aktivis R menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah di pejabat SPRM di Lundang.

Baru-baru ini Dr Mahathir ketika mengulas isu berkenaan seperti disiarkan Malaysiakini dipetik sebagai berkata, “Ya sudah tentu, dia (Mokhzani) mendapatnya kerana saya arahkan Petronas. Masukkan itu dalam akhbar awak.

“Saya mempengerusikan segala-galanya. Saya memberitahu mereka, sila berikan kepada anak saya dan bukan orang lain. Itulah apa yang saya buat selama ini.

“Apabila saya jadi perdana menteri, segala-galanya dapat pada anak-anak saya.

“Tetapi apabila semuanya dapat pada anak-anak perdana menteri-perdana menteri lain, awak tak mahu menyebut kerana dia seorang yang baik.”

No comments: