Derma Untuk Dana PRU 13

Friday, December 28, 2012

Negeri Umno pun takde air jgk....Kemelut air 17 tahun di Bera Pahang berakhir


Wartawan Sinar Harian
27 Disember 2012
Kemelut air 17 tahun berakhir
Mohd Fadil merasmikan merasmikan majlis tersebut dengan menggunakan jengkaut dibantu pihak kontraktor.
BERA – Lebih 250 penduduk Taman Indah, dekat sini lega apabila kemelut isu air yang berlarutan selama 17 tahun akan selesai pada awal Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB), Woo Chan Chong berkata, selepas ini, penduduk akan menerima bekalan air bersih seperti biasa.

Menurutnya, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) bersetuju membenarkan sistem ‘by pass’ digunakan dari tangki utama terus ke kawasan taman perumahan ini.

“Kerja menanam paip bermula hari ini dijangka siap dalam tempoh 10 hari berikutan keadaan cuaca tidak menentu sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Sistem ‘By Pass’ Taman Indah, yang dirasmikan Adun Kemayan, Mohd Fadil Osman, semalam.

Manfaat penghuni Fasa 2

Chan Chong berkata, sistem ini juga akan memberi manfaat kepada 150 penduduk lagi apabila pembinaan Fasa 2 Taman Indah ini siap kelak.

Katanya, pemaju boleh menggunakan sistem yang sama bagi saliran bekalan air bersih ini ke Fasa 2 supaya penduduk tidak akan menghadapi masalah sama seperti sekarang.

Penduduk, K. Sunther, 50 berkata, penderitaan yang dialami 15 tahun dahulu akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami adalah orang terakhir yang menerima air bersih ini, Jadi, kami kena bangun seawal jam 12 tengah malam hingga 3 pagi semata-mata untuk menadah air bersih.

“Kalau tidak buat begitu, kami tiada bekalan air bersih. Kami tidak boleh masak atau mandi,” katanya.

Katanya, sebelum ini, jika menghadapi masalah air kronik, dia terpaksa mengangkut air dari rumahnya yang lain.

Menurutnya, dia terpaksa membeli rumah lain kerana tidak sanggup berdepan dengan isu air, namun kini masalah itu hampir selesai.

Hadiah Tahun Baru

Bagi Lim Kim Fong, 65 pula, penyelesaian isu air ini adalah hadiah tahun baru bagi penduduk di sini. Menurutnya, kali ini, perayaan Tahun Baru Cina juga akan disambut meriah tanpa masalah bekalan air bersih.

Katanya, anak serta cucunya akan menyambut perayaan itu tanpa perlu bimbang mengenai ketiadaan air sehingga terpaksa bercuti ke tempat lain sebelumnya.

“Dulu, setiap kali anak atau cucu saya balik, saya risau kerana bekalan air sentiasa tidak mencukupi. Malah mereka juga ada yang tidak mahu pulang.

“Tetapi, saya percaya, kali ini perayaan itu akan disambut meriah dan ini adalah hadiah kepada kami semua,” katanya.

Yakin atasi masalah air

Menurut Mohd Fadil, sistem by pass yang dilakukan ini dipercayai mampu membawa perubahan kepada penduduk lebih-lebih lagi apabila air dari tangki berdekatan taman perumahan boleh disalurkan terus.

Katanya, tangki air berdekatan itu berfungsi membekalkan air ke seluruh Kemayan berdasarkan tarikan graviti iaitu kawasan rendah akan menerima bekalan air paling awal berbanding kawasan tinggi.

“Sebab itu, Taman Indah ini sukar mendapat bekalan air kerana kedudukannya yang tinggi. Tetapi, apabila sistem ‘by pass’ ini diselenggara, masalah ini akan selesai sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, Pejabat Khidmat Rakyat Adun Kemayan, JKKKB dan Paip mengambil masa tempoh tiga tahun untuk menyelesaikan masalah ini dengan kajian dan penyelidikan terperinci dilakukan.

Katanya, dalam tempoh itu juga, mereka berbincang untuk mendapatkan kebenaran membuat sistem ‘by pass’ itu selain mendapatkan peruntukan bagi kerja projek.

No comments: