Derma Untuk Dana PRU 13

Thursday, February 7, 2013

Pas sambut baik pendirian Nasharudin


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Pas menyambut baik pendirian bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa yang mahu kekal bersama parti itu meskipun telah dilucutkan keanggotannya dalam Majlis Syura awal bulan lalu.

"Pas menyambut baik keputusan Ustaz Nasharudin yang mahu kekal bersama kami... yang mahu kekal bersama Pas terus perjuangan Pas," kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Sinar Harian Online pagi ini.
Sehubungan itu, jelas Tuan Ibrahim, Pas tidak memecat Nasharudin daripada Pas, sebaliknya hanya menggugurkan keanggotaan dalam Majlis Syura.
Oleh itu katanya, Nasharudin masih mempunyai ruang untuk berkhidmat rakyat dengan kekal bersama Pas walaupun tidak memegang sebarang jawatan.
"Beliau masih boleh berkhidmat dan berjuang bersama Pas walaupun tidak ada jawatan.
"Malah dalam parti, ribuan orang tidak ada jawatan. Mereka kekal sebagai ahli biasa dan terus berkhidmat... sebenarnya Ustaz
Nasharudin bukan dipecat oleh parti, cuma bukan lagi anggota Majlis Syura... lagi beliau dilucutkan keanggotaan disebabkan soal komitmen, di mana sebelum ini pun ramai anggota Majlis Syura pernah ditukar dan digugurkan," katanya lagi.
Semalam, Nasharudin menegaskan, beliau akan kekal sebagai anggota Pas untuk memastikan perjuangan asal parti dalam menegakkan Islam dan membela orang Melayu tidak 'dicairkan' berikutan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP.
Beliau yang juga bekas anggota Majlis Syura Pas berkata, statusnya sekarang yang tidak menyandang jawatan dalam kepimpinan parti tidak menghalangnya daripada terus mempertahankan perjuangan asal parti.
"Tidak betul kata kalau tak jadi anggota Majlis Syura tidak boleh bersuara, saya masih boleh bersuara sebagai anggota biasa akar umbi parti. Saya mahu perjuangan asal Pas kekal, bukan sewenangnya dicairkan ikut kemahuan rakan pembangkang lain.
"Pas sebelum adanya pakatan pembangkang ini punyai kekuatan bagi berdiri dan maju sendiri sebagai sebuah parti yang perjuangkan Islam. Namun kekuatan itu dicairkan sedikit demi sedikit demi memenuhi kehendak pakatan itu," katanya.
Isnin lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Nasharuddin masih kekal anggota Pas walaupun dipecat daripada Majlis Syura Pas, dan Nasharudin juga tidak disenarai sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Sebelum ini wujud pelbagai andaian bahawa Nasharudin akan menyertai Umno atau akan berperanan aktif dalam pertubuhan badan bukan kerajaan.
Kata Tuan Ibrahim, disebabkan masalah komitmen dan ketidakhadiran, hanya Majlis Syura yang boleh menggugurkan keanggotaan Nasharudin, bukannya Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
"Jadi isu tidak ada jawatan dan oleh itu tidak boleh meneruskan perjuangan parti tidak timbul. Kita boleh berkhidmat walaupun tidak ada jawatan," katanya lagi.
Tahun lalu, Nasharudin digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

No comments: