Derma Untuk Dana PRU 13

Thursday, February 7, 2013

Yazid Sufaat, pekerja ditahan di kantin mahkamah

Harakahdaily, 07 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Tangkapan ke atas Yazid Sufaat dan pekerjanya, Mohd Hilmi Hasim sekali lagi memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli.

“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, hari ini kerajaan telah membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan terus menzalimi rakyat,” ujar Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Syukri Razab dalam satu kenyataan.

Hal ini, katanya menunjukkan selepas pemansuhan ISA, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian yang persis seperti ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas).

Berikut ialah kenyataan beliau.

Yazid Sufaat seorang bekas tahanan ISA telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di Kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta jam 12.30 tengah hari ini. Beliau ditahan bersama pekerja beliau Mohd Hilmi Hasim. Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani. Menurut Pegawai Penyiasat, Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan. Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Sebaik ditahan, pihak polis membawa Yazid dan pekerjanya ke kediaman Yazid di Taman Bukit Ampang untuk digeledah. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Peguam Fadiah Nadwa Fikri yang sedang berada di kediaman Yazid, sehingga jam 4 petang Polis masih menggeledah. Peguam juga dimaklumkan bahawa Yazid dan Hilmi akan ditahan selama 48 jam atau dua hari menggunakan peruntukan Seksyen 5 (2) Akta yang sama. Seksyen 5 (2) juga memboleh pihak Polis menangguhkan hak orang yang ditahan untuk mendapat khidmat konsultasi guaman sehingga 48 jam dari tempoh ditahan. Walaubagaimanapun pihak Polis masih belum memaklumkan balai Polis tempat Yazid dan pekerjanya akan ditahan

Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) yang diluluskan parlimen pada Julai 2012 merupakan akta ganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ini memberi kuasa besar kepada pihak Polis untuk menahan orang yang dituduh sehingga 28 hari untuk tujuan siasatan tanpa melalui proses mahkamah. Orang yang dituduh juga boleh untuk tidak dibenarkan bertemu peguam dalam tempoh 48 jam atau dua hari selepas ditahan.

Selain menafikan hak tertuduh untuk mendapatkan pembelaan di mahkamah, Akta ini juga memberi ruang untuk pihak Polis membuat tangkapan secara wewenangan berdasarkan Klausa 4 (1). Klausa ini turut memberi kuasa kepada pihak Polis untuk membuat penangkapan tanpa waran.

Suaram mengutuk tindakan Pihak Polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia. Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan pihak Polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan.

Tangkapan ke atas Yazid dan Hilmi ini sekali lagi memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli. Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, hari ini kerajaan telah membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan terus menzalimi rakyat. Hal ini menunjukkan selepas pemansuhan ISA, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian yang persis seperti ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas). Suaram mendesak pihak Polis agar menghentikan sebarang tangkapan atau penyiasatan di bawah Akta Zalim ini. Suaram juga menggesa pihak Kerajaan Malaysia agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dimansuhkan segera.

No comments: