Derma Untuk Dana PRU 13

Tuesday, May 24, 2011

Felda mahu Dr Tan dedah butir mesyuarat dipanggil Najib

Felda mahu bekas timbalan menteri tanah dan koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong mendedahkan butir-butir lanjut berhubung pertemuan yang dikatakan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua yang lain dalam satu tuntutan terhadap timbalan menteri itu.

Felda dan syarikat pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd memfail permohonan untuk tujuan itu di Mahkamah Tinggi semalam, kata peguam Cheng Mai, mewakili Felda dan Felda Global.

Beliau berkata mereka cuba untuk mendapatkan butir mengenai bila, di mana pertemuan yang dikatakan itu diadakan dan siapa lagi yang hadir, sebagaimana Dr Tan telah mengaku dalam kenyataan pembelaan, berhubung pertemuan itu oleh Najib.

Beliau bercakap kepada media selepas menemui Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof bila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini.

Turut hadir bagi dua plaintif itu ialah Datuk Firoz Hussein Jamaluddin dan peguam Jamie Wong bagi pihak Dr Tan.

Cheng Mai berkata mahkamah menetapkan 9 Jun untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak berkenaan mengemaskini permohonan.

Pada 25 Januari, Felda dan Felda Global memfailkan saman malu RM200 juta terhadap Dr Tan atas artikel yang memfitnah diterbitkan dalam akhbar "Suara Keadilan" tahun lalu.

Felda dan syarikat pelaburan itu berkata bahawa kata-kata fitnah itu diterbitkan dalam sebuah artikel muka depan berjudul "Kontroversi" dan artikel lanjutan di muka tiga, di bawah tajuk "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga individu".

Mereka mendakwa artikel tersebut telah memfitnah mereka, oleh kerana kata-kata tersebut memberi makna tersirat bahawa pemerolehan dan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di sini adalah untuk faedah kroni.

Mereka berkata bahawa kata-kata itu bermakna bahawa transaksi bangunan Felda telah menyebabkan kerugian kepada mereka dan bahawa syarat-syarat transaksi meragukan.

Mereka berkata bahawa kata-kata fitnah itu telah menyebabkan plaintif menghadapi penghinaan di khalayak awam.

Mereka memohon antara lain ganti rugi RM200 juta serta injunksi untuk menyekat Dr Tan dari terus bercakap atau menerbitkan kata-kata serupa.

- Bernama

No comments: