Teks penuh perutusan khas Najib
Perutusan khas Hari Malaysia
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
sempena sambutan Hari Malaysia 2011
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.
1.
Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat
menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga
sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.
2.
Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula
daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa
penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan
pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara
perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari
situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat
signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti
berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap
bersimpuh sambil berpeluk tubuh.
3. Apa yang sewajarnya dilakukan
demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin
dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan
usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan
kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru
berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin
akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan
dan keharmonian.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
4.
Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan
54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya,
bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada
pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham
mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah
dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis,
dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah
oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya,
mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah
lagi untuk berjaya?
5. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini,
bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi
sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu
keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang
tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah
pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja
Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas
oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak
matang.
6. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah
negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk
memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya.
Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau
tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi
bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang
terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.
7.
Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang
berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk
memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran
pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis
Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun
selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab
sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan
Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah
bagi membentuk kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
8.
Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau
apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang
telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan
komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum,
kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman,
Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi
menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip
keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
9. Barang
harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di
benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem
anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti
terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka
Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri
ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,
telah mengisytiharkan darurat.
10. Salah satu kesan
pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang
belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa
selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah
disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan
sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara
telah stabil seperti sediakala.
11. Kendatipun begitu,
Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa
tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai
Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak
eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk
mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.
12.
Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika
itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang
tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan
suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka
faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal
tragedi serta kegoncangan yang berlaku.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
13.
Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa
untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama
ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara
mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad
kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita
dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara
ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang
mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.
14.
Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui
segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah
melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan
komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta
perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.
15.
Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat
pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang
dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan
kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta
keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan
kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan
keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar
berbanding empat atau lima dekad yang lalu.
16. Melangkah lebih
jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan
oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem
Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang,
falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara
ketiga-tiga cabang kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
17.
Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi
tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi
darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap
berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti
negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan
aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik
demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih
diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah
universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan
kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan
membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar
ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya
ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia
menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan
baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
18.
Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan
luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat,
tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala,
bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan
pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan
kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak
berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan
satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.
19. Dari
perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid
Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama:
agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta
kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan
tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia
berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah
adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas
kepentingan maslahah ramai.
20. Ini bukanlah ehwal yang pelik,
tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju
seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka
perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11
September.
21. Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan
yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan
nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah
kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta
kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.
22.
Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan
Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada
mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian.
Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk
menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh
sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan
panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
23.
Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa
mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009,
bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara
komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam
yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni
ISA) akan dimansuhkan terus.
24. Untuk mencegah perbuatan
subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara
ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai
akan digubal di bawah
semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan
Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara
keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan
negara.
25. Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak
asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang
diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan
Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan
tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek
daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh
dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan
keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.
26. Di sudut
lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak
akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula,
kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif
kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu
tadi.
27. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang
Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi
memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi,
kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan
undang-undang yang tidak lagi relevan.
28. Kajian semula
komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan
dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan
mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang
kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya
demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan
kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira
norma-norma di peringkat antarabangsa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
29.
Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di
persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan
nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air
yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang.
Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa
rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi
berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba
kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan
kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya,
ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan
dan kemuliaan.
30. Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu
kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat
Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka
sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya
pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan
negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita
membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk
memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan
warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta
teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?
31.
Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan
sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi
politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat
penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang
ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan
laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju
sebuah negara moden dan progresif.
32. Pastinya, masa bukan
terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling
sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar
sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat
sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi
survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima
dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang
berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju
sepenuhnya.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
33.
Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu
lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini
adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di
mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh
ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan
kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.
Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment