Derma Untuk Dana PRU 13

Wednesday, November 30, 2011

Israel Tangguh Roboh Lalu ke Al Aqsa





BAITULMAQDIS - Israel dilaporkan telah menangguhkan kerja-kerja merobohkan laluan ke Masjid Al-Aqsa di sini, berikutan kebimbangan meletusnya gelombang bantahan di Dunia Arab dan Islam.

Sebuah stesen radio melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengambil keputusan tersebut bagi mengelakkan berlaku protes anti-Israel di Mesir ketika negara jirannya itu mengadakan pilihan raya Parlimen pertama kelmarin selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Majlis Bandaran Baitulmakdis pada 23 Oktober lalu melaporkan ia diarah merobohkan laluan berkenaan.

Struktur kayu yang juga sebahagian daripada plaza yang menempatkan Masjid Al-Aqsa dan luar tembok kota lama itu telah lama menjadi punca pertelingkahan antara Majlis Bandaran Baitulmakdis dengan masyarakat Islam serta Yahudi.

Laluan tersebut dibina dari tembok kota lama (tapak suci Yahudi), bersambung ke kawasan yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, kawasan ketiga paling suci bagi umat Islam yang juga dikenali sebagai Haram Al-Sharif.

Ia dibina pada 2004 sebagai laluan sementara selepas struktur sebelum ini roboh dan digunakan oleh pelawat bukan Islam serta tentera Israel memasuki kawasan kota lama.

Operasi membaik pulih itu tertangguh empat tahun lalu berikutan satu gelombang bantahan di seluruh negara Islam berhubung kebimbangan kerja-kerja pembinaan itu mungkin membahayakan struktur terbabit.

'Berdasarkan penilaian saya, memandangkan kini berlaku bantahan di Mesir.... sekarang bukan masanya (merobohkan laluan berkenaan),' kata Encik Netanyahu yang ditukil seorang pegawai pemerintah yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pegawai itu tidak mendedahkan bila kerja-kerja merobohkan laluan itu akan diteruskan semula.

Jemaah Islam tidak menggunakan laluan itu bagi memasuki Masjid Aqsa tetapi menggunakan beberapa pintu masuk lain.

Seorang pegawai kanan pihak yang terlibat bagi hal ehwal agama di kawasan Al-Haram Al-Sharif, Wakaf Muslim, Encik Abdul Azim Samhadana, berkata kerja pembaikan laluan itu disifatkan sebagai 'satu serangan ke atas Al-Aqsa'.

'Cara Israel memusnahkan laluan ini adalah satu tindakan provokatif dan ia mengganggu sentimen penganut Islam,' katanya.

Kelmarin, Jordan mengecam tindakan Israel itu dan menyifatkan kerja-kerja pembaikan itu sebagai satu tindakan 'sepihak'.

Raja Jordan, Raja Abdullah II, telah menimbulkan isu itu semasa pertemuannya dengan Presiden Israel,Shimon Peres, di Amman.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana, Raja Abdullah II menggesa Israel agar 'mengelakkan daripada mengambil tindakan yang boleh mengubah ciri-ciri Baitulmakdis atau menjejas tapak suci Islam dan Kristian di Kota Suci'.- AP

No comments: