Derma Untuk Dana PRU 13

Friday, January 13, 2012

Dunia boleh lihat harta Exco Pulau Pinang ,Kelantan pun boleh cuba buat...



PULAU PINANG, 13 Jan: Semua pihak di seluruh dunia kini boleh melihat sendiri harta yang dimiliki oleh pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang apabila ia dimasukkan sepenuhnya ke dalam laman web kerajaan negeri.

Tindakan ini diambil selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan harta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) semalam.

"Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan rasminya memuat naik maklumat tersebut ke dalam laman web kerajaan http://www.penang.gov.my," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui perisytiharan itu didapati Exco Pulau Pinang yang paling kaya adalah Phee Boon Poh manakala yang paling tidak berharta adalah Abdul Malik Kasim.
Menurut Lim, semua ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memegang jawatan dan amanah awam sebulat suara bersetuju bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut kebertanggungjawaban penjawat-penjawat awam.

Pengisytiharan harta secara terbuka ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang terhadap kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), katanya.

Bagi beliau, ini adalah yang pertama kali dalam sejarah Malaysia, pengisytiharan harta secara terbuka telah dikendalikan bukan oleh kerajaan negeri tetapi oleh sebuah syarikat audit bebas.

Beliau berasa kesal kerana maklumat yang penting ini tidak disiarkan oleh media massa dan blog-blog tertentu, dan berharap bahawa ini akan diperbetulkan.

Menurutnya, kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memilih firma akauntan antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum.

Sebagai sebuah firma audit bebas, KPMG perlu mendukung standard profesional yang tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada prinsip-prinsip keobjektifan, kebebasan dan tiada konflik kepentingan sebelum menjalankan apa-apa tugasan, katanya.

"Saya juga berharap bahawa pihak media boleh menyiarkan maklumat harta kami secara penuh.
"Saya berasa kesal melihat kekurangan pengetahuan asas dalam kewangan apabila nilai harta-harta disiarkan tanpa menyatakan pinjaman yang telah diambil untuk pembeliannya," katanya.

Menurut beliau, ada juga yang keliru di antara jumlah unit dalam unit amanah (10,000 unit) dengan nilai unit tersebut (RM10,000), kerana jumlah unit dengan nilainya adalah tidak sama.

Secara purata, unit amanah mempunyai nilai antara 30 hingga 50 sen seunit, tambah beliau.

"Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa kami tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan yang lain selain daripada elaun awam sebagai penjawat awam dan wakil rakyat.

"Jumlah dan angka elaun ini boleh diperolehi daripada Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri(Saraan) 1980," beritahu beliau.

No comments: