Derma Untuk Dana PRU 13

Tuesday, March 13, 2012

Rakyat serang Balai Polis, satu tindakan berbahaya kepada negara..

Insiden orang kampung secara beramai-ramai menyerbu dan membuat kecoh di Balai Polis Teluk Bahang, Pulau Pinang baru-baru ini benar-benar menganggu emosi dan fikiran seluruh rakyat Malaysia kerana ia membawa satu teladan yang tidak baik malah berbahaya kepada keamanan negara.

Biar saya katakan mengapa.

Pertama, ia seolah-olah menunjukkan bahawa ibu bapa dan orang kampung lebih terdorong untuk mempertahankan tindak tanduk anak-anak mereka yang merempit daripada memikirkan soal keselamatan mereka.

Kedua, tindakan tersebut seperti menghantar isyarat yang tidak betul kepada seluruh negara bahawa anarki boleh berlaku di mana-mana sahaja walaupun ke atas balai polis serta penguatkuasa undang-undang.

Sementara kita semua tidak setuju (jika benar) dengan cara dua orang anggota polis itu cuba menahan remaja-remaja berkenaan daripada merempit iaitu dengan membaling helmet ke arah mereka sehingga dikatakan menjadi punca mereka terjatuh tetapi pada masa yng sama negara ini tidak juga boleh membenarkan orang awam mengambil hukuman di tangan sendiri.

Oleh yang demikian, tindakan polis menasihati orang awam supaya tidak mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri berikutan insiden yang menyaksikan lebih 100 orang kampung menyerbu ke Balai Polis Teluk Bahang itu kerana memprotes tindakan seorang pegawai polis yang menyebabkan anak mereka terjatuh dari motosikal selepas dikatakan merempit adalah satu tindakan yang tepat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Komisioner Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang termasuklah ke atas mereka yang membuat kecoh atau pegawai polis yang tidak mengikut peraturan standard ketika bertugas.

Orang kampung yang tidak berpuashati sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk mengadu. Mereka mempunyai ketua kampung dan juga wakil rakyat untuk diketengahkan isu ini agar ia boleh dibawa ke pengetahuan pihak atasan. Bukan dengan menyerbu dan membuat kacau serta kerosakan di balai polis.

Malah tindakan mereka itu hanya akan menjejaskan perkhidmatan anggota keselamatan untuk mengawal keselamatan kampung dan juga daerah mereka daripada sebarang ancaman jenayah dan juga keselamatan.

Masalah besar yang berhadapan dengan sebahagian besar rakyat Malaysia ialah kita kekurangan daya sabar. Dan ini tidak baik untuk masa depan masyarakat dan juga negara kita.

Oleh ABD HAMID ABD KADIR, Georgetown, P.Pinang

No comments: