Abdul Hadi Awang
KUALA LIPIS - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tentang ganjaran yang bakal diterima peneroka Felda tidak lama lagi dilihat sebagai pemberian rasuah politik pusingan kedua kepada rakyat.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkata, melihat kepada pengumuman itu di ketika negara sedang menunggu detik pilihan raya, jelas menandakan tarikh pilihan raya umum sudah terlalu hampir.
“Rasuah politik pusingan pertama sudah pun berjalan sejak akhir tahun lalu iaitu BR1M berjumlah RM500 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, bantuan RM100 untuk murid-murid sekolah dan RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar-pelajar universiti.

“Rasuah politik pusingan kedua sebagaimana yang diumumkan Najib itu mungkin lebih besar jumlahnya dan mencakupi pelbagai perkara lagi. Ia tentulah sesuai dengan hasrat untuk memenangi pilihan raya dengan cemerlang, sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Barisan Nasional (BN) sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Benta di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli dan Yang Dipertua Pas Kawasan Lipis, Ishak Sat.
Hadi berkata, pengumuman Najib itu juga tentulah berdasarkan keyakinannya bahawa rasuah yang diberikannya sebelum ini telah berjaya menggembirakan hati rakyat dan menyebabkan mereka mula kembali menyokong Umno dan BN.
“Kawasan Felda telah dibangunkan sejak berpuluh tahun yang lalu dan tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mengamalkan cara pemberian sagu hati kepada rakyat dalam bentuk wang tunai tetapi beliau (Najib) telah memulakannya.
“Maka, sudah tentu pemberian di pusingan kedua ini lebih besar jumlahnya dan meliputi pelbagai kelompok dalam masyarakat kerana yang dihajati ialah sokongan yang lebih besar daripada rakyat,” katanya.
Hadi berkata, rakyat dan negara tentunya lebih memerlukan pemimpin yang berani merangka dasar jangka panjang untuk kepentingan rakyat seperti keberanian untuk menurunkan harga minyak, mengekalkan subsidi untuk rakyat miskin, memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN.
Menurutnya, dasar berkenaan tentunya lebih bermanfaat dalam jangka panjang berbanding pemimpin yang hanya tahu memberi wang tunai RM500, RM200 dan RM100 yang boleh dihabiskan dalam waktu yang yang singkat.