Derma Untuk Dana PRU 13

Tuesday, April 3, 2012

Kemenangan Suu Kyi Suntik Semangat Perjuangan PR Di Malaysia



Kemenangan Suu Kyi inspirasi buat pejuang demokrasi’

KUALA LUMPUR 2 April: Kemenangan pejuang deokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi memperolehi satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil di negaranya merupakan satu inspirasi buat pejuang demokrasi di rantau ini dan seluruh dunia.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff sewaktu mengulas kemenangan Suu Kyi semalam.

Mengulas lanjut, Yusmadi yang juga merupakan Setiausaha Kaukus Asean Inter-Parliamentary Myanmar berkata walau pun kemenangan itu bukan satu kemenangan keseluruhan buat Suu Kyi dan partinya, ia tetap mengesahkan mandat rakyat buat Suu Kyi selama ini.

“Kemenangan ini bukan kemenangan baru, ia dipanggil pengesahan semula mandat oleh Aung San Suu Kyi bagi memimpin agenda demokrasi di Myanmar.

“Walaupun bukan kemenangan keseluruhan, ia sudah cukup untuk beri nafas baru kepada pejuang-pejuang demokrasi rantau ini yang mungkin agak lesu (kerana cabaran berpanjangan),” katanya.

Menurutnya lagi, selain Suu Kyi, masyarakat di Asia Tenggara juga mengenali Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pejuang demokrasi dan kebebasan.

“Di rantau ini cuma ada dua tokoh demokrasi yang kita tahu iaitu Aung San Suu Kyi dan Anwar Ibrahim.

“(Justeru), kemenangan ini satu inspirasi untuk pejuang demokrasi lain terutamanya di Malaysia yang akan berhadapan pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Kemenangan Suu Kyi ini juga, kata Yusmadi wajar menjadi iktibar kepada yang lain agar bersabar dan terus tabah dalam perjuangan mereka.

“Kita boleh ambil iktibar daripada perjuangan Aung San Suu Kyi – ia perjuangan lama dan bersungguh-sungguh dan tabah walaupun pelbagai tentangan dihadapi.

“Yakinlah agenda demokrasi dan kebebasan akan temui kejayaan walaupun ia mungkin memakan masa seperti juga perjuangan Nelson Mandela,” katanya.

Aung San Suu Kyi dilaporkan memenangi satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya di negaranya. Beliau mengalahkan dua pesaing lain dalam pertandingan tiga penjuru.

Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpin Suu Kyi mengumumkan yang beliau memenangi kerusi Kawhmu, berhampiran bahagian selatan pusat komersial Yangon.

Suu Kyi yang diperintahkan menjalani tahanan dalam rumah selama 15 tahun sejak 1989 bertanding buat pertama kali selepas parti yang dipimpinnya membuat keputusan mengakhiri pemulauan pilihan raya yang didominasi junta tentera. -KD

No comments: