Derma Untuk Dana PRU 13

Friday, April 27, 2012

KPF kesal digugur dalam proses penyenaraian FGVH


,
KUALA LUMPUR, 27 April: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) merasa terkejut dan kesal dengan tindakan FELDA yang menggugurkan KPF daripada terlibat di dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd (FGVH) sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 25 April 2012 yang lalu.

Anggota Lembaga KPF, Datuk Zainal Hassan berkata, keputusan yang dibuat oleh FELDA itu adalah bercanggah dengan pengumuman berkaitan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2011 yang menyatakan: “Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda”.

“Ucapan ini jelas membayangkan pendirian rasmi kerajaan bahawa meskipun FGVH bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, kepentingan 230,000 ahli KPF yang terdiri dari peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA akan tetap terpelihara melalui pemilikan saham majoriti oleh KPF di dalam entiti FGVH yang disenaraikan,” ujarnya dalam satu kenyataan bagi pihak KPF.

Beliau menegaskan, KPF berpegang bahawa apa yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri itu adalah polisi kerajaan yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh FELDA.

Berikut kenyataan penuh KPF.

Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) merasa terkejut dan kesal dengan tindakan FELDA yang menggugurkan KPF daripada terlibat di dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd (FGVH) sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 25 April 2012 yang lalu.

Keputusan yang dibuat oleh FELDA ini adalah bercanggah dengan pengumuman berkaitan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia yang dibuat oleh Perdana Mentari, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2011, di mana YAB Perdana Menteri menyatakan: “Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda”.

Ucapan ini jelas membayangkan pendirian rasmi kerajaan bahawa meskipun FGVH bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, kepentingan 230,000 ahli KPF yang terdiri dari peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA akan tetap terpelihara melalui pemilikan saham majoriti oleh KPF di dalam entiti FGVH yang disenaraikan.

KPF berpegang bahawa apa yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri ini adalah polisi kerajaan yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh FELDA.

Tambah mengecewakan, keputusan FELDA ini dibuat hanya beberapa hari sahaja selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF meluluskan dengan majoriti besar usul yang dibawa oleh Lembaga KPF agar KPF terlibat di dalam penyenaraian FGVH dengan pegangan saham melalui syarikat Felda Asset Holdings Company Sdn. Bhd. (FAHC).

Sebagai sebuah entiti yang menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan untuk menyenaraikan FGVH demi masa depan peneroka Felda, sejak dari pengumuman Perdana Menteri tersebut dan disusuli pula dengan tawaran dari FELDA untuk membeli 51% ekuiti milik KPF di dalam Felda Holdings Berhad (FHB) dan 10 anak syarikatnya, KPF telah mengambil pelbagai tindakan proaktif antaranya menubuhkan jawatankuasa penasihat penyenaraian, melantik konsultan-konsultan, menganjurkan sesi-sesi taklimat kepada ahli KPF di seluruh negara serta mengadakan pelbagai perundingan dan mesyuarat dengan FELDA dan FGVH bagi memperhalusi segenap aspek penyenaraian tersebut dan seterusnya memastikan penglibatan KPF akan memberikan impak yang positif kepada KPF dan ahlinya.

Sepanjang tempoh tersebut, begitu banyak masa, tenaga dan kos yang tinggi  dibelanjakan oleh KPF semata-mata kerana KPF ingin melihat penyenaraian FGVH ini menjadi realiti.

Maka, selepas segala komitmen diberikan, adalah tidak wajar KPF diketepikan begitu sahaja.

Berhubung dengan tindakan injunksi sementara yang diambil oleh segelintir peneroka bagi menghalang mesyuarat agung luar biasa (EGM) KPF, ianya adalah diluar kawalan KPF.

Bagaimanapun KPF akhirnya berjaya mengenepikan injunksi tersebut melalui proses mahkamah yang sudah tentu mengambil sedikit masa.

Apatah lagi KPF terikat untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan undang-undang untuk memanggil semula mesyuarat agung luar biasa.

Namun akhirnya, mesyuarat agung luar biasa dapat diadakan pada 19 April 2012 yang lalu di mana usul yang dicadangkan oleh Lembaga KPF telah disokong oleh majoriti besar perwakilan yang hadir.

Kepimpinan KPF memikul tanggungjawab untuk memastikan mandat dan sokongan besar ahli-ahli KPF yang terdiri dari kalangan peneroka dan kakitangan FELDA agar KPF terlibat di dalam penyenaraian FGVH ini dapat dilaksanakan dengan  jayanya.

Apa yang ironi di sini, hasrat segelintir peneroka yang terpengaruh dengan pertubuhan ANAK untuk menghalang penglibatan KPF di dalam penyenaraian FGVH nampaknya tercapai dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi FELDA ini tanpa perlu mereka bersusah payah memfailkan lagi injunksi di mahkamah.

Tanggapan bahawa faktor kesuntukan masa untuk melibatkan KPF di dalam penyenaraian FGVH adalah diakibatkan oleh pelbagai tawaran balas KPF kepada FELDA hingga menjejaskan struktur asas penyenaraian adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Apa yang dikemukakan oleh KPF melalui sepucuk surat bertarikh 16 April 2012 kepada FELDA hanyalah merupakan cadangan-cadangan pindaan terhadap kandungan perjanjian jual beli saham-saham milik KPF kepada FELDA dan tidak melibatkan sebarang perubahan kepada struktur asas penyenaraian FGVH.

Justeru, Lembaga KPF yang bermesyuarat pada hari Khamis (26 April 2012) telah mengambil ketetapan untuk memajukan perkara ini kepada FELDA dan seterusnya kepada YAB Perdana Menteri supaya KPF dilibatkan kembali di dalam penyenaraian FGVH sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

KPF amat mempercayai pertimbangan yang bijaksana oleh Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah tentu akan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara

No comments: