Derma Untuk Dana PRU 13

Sunday, October 7, 2012

Rakyat Jordan pulak protes bantah Raja Abdullah


Al-Jazeera terjemahan Mohamad Yahya,
AMMAN: Belasan ribu rakyat Jordan mengadakan protes di tengah-tengah ibu negara Jordan, Amman untuk perhimpunan pro-reformasi, di sebalik keputusan Raja Abdullah untuk membubarkan Parlimen.

Saksi dan wartawan menganggarkan kehadiran di antara 10,000 dan 15,000 orang, dengan kehadiran dijangka makin bertambah dengan ramai lagi penunjuk perasaan bertolak ke Amman dari tempat lain di seluruh negara.

Kehadiran masih di bawah angka 50,000 yang diramalkan oleh Jabhat al-'Amal al-Islami (Barisan Tindakan Islam), sayap Ikhwan Muslimin di Jordan dan kumpulan pembangkang utama di negara tersebut.

Sekurang-kurangnya 2,000 polis telah dikerahkan untuk menghalang demonstrasi, yang dilakukan selepas solat Jumaat.

Wartawan Al Jazeera, Jane Arraf, yang melaporkan dari Amman berkata, beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul dalam bantahan terbesar sejak Kebangkitan Arab.

"Rakyat tidak menyeru untuk menggulingkan pemerintahan beraja. Tuntutan mereka adalah lebih sederhana," katanya.

Raja Abdullah berharap pembubaran parlimen dan pilihan raya yang lebih awal akan melemahkan semangat untuk protes. Raja Abdullah tidak mengumumkan tarikh bagi pilihan raya, tetapi beliau berharap untuk mengadakan pilihan raya menjelang akhir tahun 2012.

"Rakyat mahukan peraturan pilihan raya yang baru yang akan memberikan mereka peluang yang lebih baik untuk memilih pemimpin yang boleh melaksanakan reformasi. Mereka mahu menamatkan rasuah. Mereka mahukan pekerjaan," lapor Arraf.

Satu demonstrasi menyokong raja telah dibatalkan bimbang ia akan menimbulkan kekacauan kerana ia diadakan bertepatan dengan perhimpunan pembangkang, kata penganjur.

"Kami telah menanangguhkan demonstrasi kami yang dijadualkan berlangsung pada masa yang sama dengan demonstrasi Ikhwanul Muslimin untuk mengelakkan sebarang masalah," kata Jihad al-Sheikh, ketua kumpulan belia berasaskan internet yang menganjurkan acara tersebut.

Pembatalan demonstrasi tersebut datang "selepas permintaan daripada pengarah Keselamatan Awam, Hussein al-Majali, para Ahli Parlimen dan pemimpin puak" untuk mencegah berlakunya kekacauan

No comments: