Derma Untuk Dana PRU 13

Wednesday, October 17, 2012

Sekolah Larang Murid Perempuan Bertudung; Ibu Bapa Tidak Izin Anak Belajar


1 Zulhijjah 1433H,

MOSCOW - Beberapa keluarga Islam tidak membenarkan anak perempuan mereka belajar di sebuah sekolah di selatan Russia selepas pihak sekolah tersebut melarang murid-murid perempuannya memakai tudung.

Mufti wilayah Stavropol, Encik Muhammad Haji Rakhimov, kelmarin berkata, beliau menerima banyak aduan daripada beberapa keluarga yang mendakwa anak perempuan mereka tidak dibenarkan memakai tudung di sekolah.

Katanya, isu tersebut gagal diselesaikan selepas ibu bapa murid dan pihak sekolah enggan mengalah, menyebabkan beberapa murid perempuan tidak hadir ke sekolah selama dua minggu.

"Ibu bapa murid perempuan tidak membenarkan anak mereka ke sekolah dan keadaan itu boleh menyebabkan agensi kebajikan kanak-kanak campur tangan dan mengambil alih penjagaaan mereka," jelas Encik Muhammad.

Beliau tidak dapat menjelaskan mengapa pihak berkuasa sekolah membuat perubahan itu.

"Kami tidak berdepan dengan sebarang masalah sebelum bulan ini," kata beliau.

Beliau menambah, kini "ramai pelajar perempuan" yang tidak dihantar ke sekolah sebab berkenaan dan ibu bapa mereka terlalu miskin bagi menghantar mereka ke sekolah swasta.

Salah sebuah sekolah yang menguatkuasakan larangan itu terletak di kampung Kara-Tyube, berdekatan wilayah Dagestan yang majoritinya penduduk Islam.

Menurut peraturan sekolah itu, penampilan pelajar harus sejajar dengan penampilan masyarakat sekular.

Akhbar Izvestiya menukil pengarah sekolah itu, Cik Marina Savchenko, sebagai berkata pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai hijab di dalam kelas tetapi tudung biasa dibenarkan.

Akhbar itu melaporkan para ibu bapa telah mengemukakan aduan kepada pihak pendakwa raya.

Terdapat sekitar 20 juta penduduk Islam di Russia, dengan sebahagian besar mereka menetap di wilayah pergunungan Caucasus Utara, Tatarstan dan Bashkortostan. - AFP.

No comments: