BATANG KALI - Bekas ketua pasukan bola sepak Sukan
Malaysia Selangor 1998, Ezmi Md. Jan merayu mana-mana pihak menghulurkan
bantuan bagi meringankan beban penyakit kanser hidung yang
ditanggungnya sejak dua tahun lalu.
Bek tengah Selangor 1989 hingga 1999 dan sempat mewakili Perlis pada
2000 itu kini terlantar di rumahnya di Kampung Sentosa di sini, sejak
menjalani pembedahan hidung di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.
Akibat penyakit itu, Ezmi, 35, bapa kepada sepasang anak lelaki dan
perempuan yang berusia tujuh dan 10 tahun, sukar bertutur dengan jelas
dan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan.
Bapanya, Md. Jan Nipang, 66, berkata, anak sulungnya itu sudah menjalani
dua pembedahan di dua pusat perubatan akibat penyakit berkenaan dan
masih dalam cuti sakit di bawah majikannya, sebuah pihak berkuasa
tempatan.
Katanya, mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Ezmi, boleh
datang ke kediamannya di alamat 1322, Kampung Sentosa, Batang Kali,
Selangor atau di talian 016-3807426.
Sementara itu, ramai rakan seangkatan Ezmi semalam turun kembali ke
padang untuk mengadakan perlawanan persahabatan bagi mengutip derma
dalam meringankan beban penderitaannya.
Mereka yang mewakili pasukan Pilihan Bekas Pemain Selangor dalam
perlawanan di padang Sekolah Syed Mashor, tidak jauh dari kediamannya
ialah Azrin Shah Zainal, Jamsari Sabian dan Shahriman Karim yang
menentang pasukan Pilihan Hulu Selangor Boys.
Kata Shahriman, inilah perlawanan persahabatan kedua bagi Bekas Pemain
Selangor selepas menentang Majlis Perbandaran Subang Jaya di Subang
Jaya, beberapa hari lalu dan pihaknya menyeru lebih banyak pihak yang
tampil membantu Ezmi menerusi perlawanan seumpama ini.
"Beliau seorang yang berbakat besar dan banyak jasanya kepada bola sepak
Selangor antaranya menyumbangkan pingat emas Sukan Malaysia 1998 dan
kejohanan remaja," katanya.
No comments:
Post a Comment