Aktivis Umno akhir-akhir ini banyak menimbulkan cerita buruk mengenai
perletakan jawatan saya dari PETRONAS dalam tahun 2009. Fitnahnya adalah
saya dibuang kerana membuat tuntutan perbelanjaan yang
menyeleweng.Mulanya saya tidak mahu melayan kerana ia fitnah picisan.
Agaknya mereka masih mencari kelemahan saya, jadi mereka mencipta cerita
bahawa saya menyeleweng hingga dibuang untuk mencemarkan kredibiliti
saya. Pada kiraan mereka (yang silap), jika kredibiliti saya tercalar,
makan tercalar jugalah kredibiliti pendedahan saya selama ini dan yang
akan datang.Mutakhir ini saya merasakan jika saya terus berdiam diri, ia
tidak membantu kebenaran kerana fitnah terancang ini disebarkan
seluas-luasnya.
Selepas berkhidmat selama 2 tahun di loji petrokimia PDH/MMSB di Gebeng,
saya ditukarkan kembali ke ibupejabat di Menara Berkembar
PETRONAS.Jadi, pada umur 27, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus
Kanan (saya dimaklumkan ia tidak pernah berlaku sebelum itu dan menjadi
orang termuda ketika itu dilantik menjadi Pengurus Kanan) yang
bertanggungjawab menguruskan keseluruhan perancangan perniagaan, operasi
dan teknologi bagi Urusniaga Petrokimia PETRONAS, kerana saya mempunyai
ijazah kejuruteraan dan juga seorang akauntan bertauliah.
Selepas 2 tahun di jawatan itu, saya dipindahkan lagi untuk mengetuai
jabatan kewangan bagi perniagaan carigali antarabangsa, memandangkan
saya mempunyai latar belakang percukaian. Pada ketika itu, ada keperluan
untuk mengemaskini amalan percukaian PETRONAS di peringkat antarabangsa
kerana banyak kerajaan menggunakan alasan percukaian untuk campur
tangan kontrak pengeluaran petroluem yang dimeterai.Oleh itu, menjelang
umur saya 31 tahun, saya telah pun diberi peluang menguruskan pelbagai
bidang dalam industri minyak dan gas. Saya pernah bertugas di loji
petrokimia, di pengurusan korporat, berpengalaman di sektor huluan dan
hiliran.
Pada ketika itu, saya juga sedang menunggu masa untuk dinaikkan pangkat
lagi.Saya berdepan dengan dilema besar. Jika saya kekal di PETRONAS,
dengan kenaikan pangkat dan gaji yang besar, saya mungkin akan kekal
selama-lamanya hanya dalam satu bidang kerana terlalu selesa dengan
kesenangan dan gaji. Saya tidak mahu bersara dengan pengalaman di dalam
satu bidang sahaja, kerana hidup ini lebih meriah jika kita terus
menimba ilmu dan pengalaman. Pada ketika itu, saya agak keberatan untuk
terus berkhidmat di PETRONAS selepas bon perkhidmatan 7 tahun berakhir.
Kebetulan, menjelang Januari 2008, rakan karib yang banyak mempengaruhi
kehidupan saya – Adlan Benar Omar – menghembuskan nafas yang terakhir
selepas sakit buat sekian lama. Ben (nama panggilan beliau) adalah
senior saya di MCKK, beliau berminat dengan politik dan banyak membaca
sejarah sejak dari sekolah. Semasa beliau di Tingkatan 5, saya di
Tingkatan 1 dan beliau adalah kapten pasukan bahas yang melatih saya.
Semasa kami di sekolah, kami ada berjanji akan memasuki politik dan
memberi sumbangan, kerana di sekolah pun ada isu-isu yang dekat dengan
hati beliau. Yang bersungguh-sungguh mahu jadi ahli politik adalah Ben,
saya hanya angguk saja bila senior bercakap.
Hubungan kami yang terus rapat bermakna kami ambil serius janji itu. Ben
melanjutkan pengajian ke Cambridge dan menubuhkan UKEC. Sepanjang masa,
beliau mengheret saya ke dalam lingkungan aktivitinya kerana sifat saya
yang lebih senang bekerja memudahkan kami menguruskan persatuan yang
kami sama-sama sertai.Apabila Dato’ Seri Anwar dipecat dan dizalimi
dalam tahun 1998, kedua-dua kami merasa terpanggil untuk membantah. Saya
masih di universiti, tetapi Ben yang sudah bekerja di Malaysia terjun
ke kancah politik partisan dan menjadi antara tokoh muda awal yang
menunjangi KEADILAN. Sekali lagi allahyarham mengheret saya sama ke
dalam KEADILAN.
Allahyarham menghembuskan nafas 2 bulan sebelum tsunami politik Mac
2008. Di hari-hari terakhirnya, kami sama-sama faham bahawa apabila
beliau tiada, saya tiada pilihan kecuali masuk politik. Ben mengorbankan
kerjaya dan hidupnya untuk reformasi, kalau matlamat reformasi tidak
tercapai maka pengorbanannya sia-sia. Pada hari-hari itu pun saya sudah
sedar bahawa ada ketikanya di masa akan datang hidup saya yang selesa di
dunia korporat perlu diakhiri, untuk sama-sama membantu menubuhkan
sebuah sistem politik dua parti dan menumbangkan BN.
Menjelang 2009, saya pun membuat keputusan untuk meninggalkan PETRONAS.
Saya langsung tidak berniat untuk masuk politik pada ketika itu, tetapi
saya merasakan saya perlu keluar dari zon selesa. Saya juga mahu tahu
berapa nilai saya sebagai seorang akauntan bertauliah di luar
PETRONAS.Pada 30 April 2009, saya menyerahkan surat perletakan jawatan.
Dalam tempoh 3 bulan akan datang, saya melangsaikan semua hutang saya
dengan PETRONAS, termasuklah membayar RM31,499.89 baki bon perkhidmatan
saya selama 6 bulan berbaki, agar saya mengembalikan setiap satu sen
biasiwa pendidikan yang diberika PETRONAS seperti di dalam perjanjian.
Saya juga membayar RM41,091.80 baki geran kereta (yang saya pakai
sehingga kini), yang diberikan kepada kakitangan pengurusan.
Saya bernasib baik kerana tekaan saya bahawa gaji di luar PETRONAS lebih
tinggi adalah tepat. Dengan tawaran yang lebih baik, saya menyertai
Pharmaniaga Berhad dalam Ogos 2009 sebagai Pengurus Besar,
bertanggungjawab menguruskan kilang farmaseutikal di Bangi dan fungsi
kewangan kumpulan itu.Hari pertama saya melaporkan diri di Pharmaniaga
adalah 10 Ogos 2009.
Ditakdirkan pada 8 Ogos 2009, saya pulang ke Kemaman untuk bertemu
ibubapa dan kebetulan pada malam itu ada ceramah perdana Dato’ Seri
Anwar, lalu saya diminta oleh penganjur untuk menjadi pengerusi
majlis.Saya tidak keberatan dan bertemu dengan Dato’ Seri Anwar yang
agak terkejut saya berada di situ, kerana kali terakhir kami bertemu
(semasa perbincangan persediaan debat harga minyak setahun sebelum itu),
saya tegas tidak berminat untuk berkecimpung dalam politik.
Beliau bertanya di mana saya bekerja ketika itu, saya maklumkan saya
sudah berhenti dari PETRONAS dan akan bermula di Pharmaniaga minggu
selepas itu. Yang lain-lain selepas itu adalah sejarah yang berlaku
dengan cepat.Susulan dari pertemuan itu, Dato’ Seri Anwar menjemput
untuk bertemu beliau di Parlimen sebanyak dua kali. Beliau ada meminta
untuk saya kembali menyertai pimpinan parti (saya memegang jawatan
pimpinan pusat Pemuda sehingga 2004) – dua kali beliau tanya, dua kali
saya tolak.
Akhirnya, bila beliau seolah mencabar saya bahawa “kita perlu bersama
berjuang dan bukan hanya pandai mengkritik dari jauh”, saya akur untuk
membantu parti.Walaupun saya tidak pernah merancang untuk ke depan
seperti sekarang, saya tenang dan tidak menyesal kerana janji bersama
dengan allahyarham Ben supaya pengorbanan beliau meninggalkan usia muda
tidak sia-sia. Janji itu semakin dekat menjadi kenyataan, apa yang
terjadi selepas itu adalah keputusan peribadi saya.
Ada orang yang memperlekehkan sentimentaliti berpegang kepada janji
bersama di zaman budak-budak, tetapi janji itu menyuburkan ingatan saya
terhadap allahyarham setiap hari.Berbalik kepada PETRONAS, saya bertuah
melalui zaman kerjaya yang cukup baik di PETRONAS. Ia banyak mengajar
saya dan hampir keseluruhan kemahiran professional saya datangnya dari
PETRONAS. Lebih penting, PETRONAS berlaku adil – disiplin kerja saya
dihadiahkan dengan kenaikan pangkat yang paling pantas, seperti
keputusan kenaikan pangkat yang dibuat pada umur saya 28 tahun yang
disertakan bersama.
Perletakan jawatan saya dari PETRONAS mengejutkan ramai kakitangan
PETRONAS. Ramai yang kurang faham kenapa saya perlu meninggalkan keadaan
yang selesa dan lumayan, apatah lagi apabila prospek untuk saya di
PETRONAS cukup baik.
Ramai yang baik hati dan cuba memujuk saya untuk membatalkan hasrat, termasuklah Datuk Mohamad Medan Abdullah, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Korporat Kumpulan (beliau pernah menjadi ketua saya semasa kami di Carigali). Beliau menghantar twit pada 21 Ogos 2012 menerangkan bagaimana beliau juga pernah memujuk saya untuk tidak meletakkan jawatan. Beliau juga mengakui saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk menyertai politik pada ketika itu.
Ramai yang baik hati dan cuba memujuk saya untuk membatalkan hasrat, termasuklah Datuk Mohamad Medan Abdullah, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Korporat Kumpulan (beliau pernah menjadi ketua saya semasa kami di Carigali). Beliau menghantar twit pada 21 Ogos 2012 menerangkan bagaimana beliau juga pernah memujuk saya untuk tidak meletakkan jawatan. Beliau juga mengakui saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk menyertai politik pada ketika itu.
Saya harap keterangan ini jelas. Saya tidak mahu melayan fitnah ini
kerana meninggalkan PETRONAS adalah keputusan peribadi. Ia berlatar
belakangkan pemergian seorang rakan karib dan setiap kali saya
mengingatinya, ia membuat saya merasa pilu. Ia perkara peribadi dan
wajarlah dikekalkan sifat peribadinya.
Ini adalah keterangan bukan undang-undang yang pertama dan terakhir mengenai perkara ini. Jika berterusan, saya akan mengambil tindakan undang-undang.
Ini adalah keterangan bukan undang-undang yang pertama dan terakhir mengenai perkara ini. Jika berterusan, saya akan mengambil tindakan undang-undang.
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
No comments:
Post a Comment