Derma Untuk Dana PRU 13

Sunday, May 20, 2012

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Sertai Pas


SHAH ALAM - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari akan menyerahkan borang menyertai Pas di kampung halamannya, Larut, Perak, hari ini.

Difahamkan, beliau akan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu program yang turut dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

Fauzi berkata, beliau telah membuat keputusan menyertainya selepas membuat beberapa perbandingan dengan parti lain antaranya, Umno, PKR dan DAP.

“Takkan saya hendak menyertai DAP…, saya melihat Pas lebih konsisten dalam perjuangan yang membuatkan saya memilih parti Islam itu. Saya memilih politik kerana berniat untuk berbakti dalam Islam selepas pencen ini, Pas adalah lebih syumul.

“Sekurang-kurangnya, saya boleh memberikan pendedahan kepada Pas apa sebenarnya yang berlaku dalam polis, ada juga kebaikan… tetapi tidak nampak, sekurang-kurannya akan menjernihkan tafsiran masyarakat kepada polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain Fauzi, difahamkan antara nama-nama yang disebut bakal menyertai Pas adalah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusoff.
Bagaimanapun beliau pernah menafikannnya.

Ramli yang pernah dituduh di mahkamah berhubung kes rasuahnya, tetapi telah dibebaskan dan didapati tidak bersalah.

Fauzi berkata, walaupun beliau terlibat dalam politik, beliau masih berpegang teguh kepada etika dan prinsipnya semasa berkhidmat, bukannya akan dipergunakan seperti yang dianggap pihak yang tidak senang dengan keputusannya.

“Saya tahu apa yang akan dilakukan dan apa yang tidak boleh. Sebagai bekas penjawat awam, saya tahu batasannya, bukan semua akan didedahkan pada ceramah-ceramah yang akan disertainya.

“Insya-ALLAH saya gunakan pendekatan berhemah, tak perlulah risaukan penyertaan saya kepada Pas,” katanya.

Fauzi yang ditanya sekiranya akan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13, katanya, “biarlah pucuk pimpinan tentukan, kerana saya masuk Pas bukan tujuan dicalonkan tetapi hanya berbakti kepada rakyat."

“Cuma selepas menjadi ahli, sudah tentu saya akan memberikan lebih tumpuan kepada parti, jika tidak lebih baik menjadi ahli biasa sahaja dan keluar mengundi,” katanya.

Menurut Fauzi, beliau memilih mendaftarkan sebagai ahli Larut kerana kedua ibu bapanya berasal dari kawasan berkenaan.

“Tidak salah saya mencurahkan bakti di kawasan yang saya pernah membesar. Cuma dulu semasa dalam kerajaan, saya ada tanggungjawab lain, kini dah pencen, jadi boleh lah aktif sikit dalam politik,” katanya.SH

No comments: