20 Jamadil akhir 1433H,
KOTA
BHARU: Bagi orang Melayu golongan ulama begitu disanjung dan dihormati
kerana ilmu dan amalan mereka. Setiap kata-kata ulama dipegang dan
dijadikan panduan.
Begitu
juga dalam situasi sekarang orang ramai melihat peluang kerajaan baru
menguasai Putrajaya begitu cerah berdasar kepada banyak petunjuk yang
muncul hari ini.
“Saya
nampak peluang untuk kerajaan lain menguasai Putrajaya pada pilihan raya
umum ke-13 begitu cerah sekali. Namun kalau tidak berlaku seperti
dijangka itu tidak tahulah saya hendak kata apa lagi.
“Lagi pun
Perdana Menteri seperti memberi petunjuk PRU-13 makin hampir sekarang,”
kata Datuk Mohamed Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan di majlis
perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-53 di Dewan Utama
Syabab Point di sini hari ini.
Perasmiannya
disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Hadir sama Exco
Pemuda PAS Pusat, Mohd Khalil Abdul Hadi, Ketua AMK Kelantan, Azihan Che
Seman dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Syabab
Point merupakan bekas bangunan milik Umno Kota Bharu dan dibeli PAS
Kelantan pada 2010 dengan harga RM4.5 juta. Sebelum ini bangunan itu
dimiliki atas nama Ombak Baru dijual oleh bekas Ketua Umno Kota Bharu,
Datuk Zaid Ibrahim.
Oleh itu
Mohamed yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri berkata, pemuda
hendaklah mempersiapkan diri dengan menimba sebanyak mungkin ilmu
sehingga ke peringkat PhD.
Katanya, kalau dahulu golongan pemuda tidak ramai yang memiliki ijazah, namun sekarang keadaan sebaliknya berlaku.
“Pemuda
kena membuat persiapan kerana pada masa hadapan bukan sekadar menjadi
pemimpin di Kelantan sebaliknya mengisi jawatan penting di peringkat
pusat.
“Jadi kena ada persiapan ilmu sebagai persediaan. Tidak boleh berpuas hati dengan kemampuan yang ada sekarang,” ujarnya.
Mengenai
kehadiran begitu ramai pada perhimpunan sempena sambutan 66 tahun Umno
di Bukit Jalil malam tadi, katanya Umno mampu mengerah orang ramai hadir
kerana mereka ada kuasa di peringkat persekutuan.
Timbalan
Presiden PAS berkata, banyak negara sekarang berubah pemerintahannya
akibat kebangkitan rakyat menggunakan pentas jalan raya bagi menukar
kerajaan yang zalim.
Katanya,
tidak banyak negara yang berubah teraju pemerintah melalui saluran
demokrasi pilihan raya kecuali India dan negara-negara di barat sahaja.
“Misalnya
Indonesia pada 1998 berubah melalui jalan raya, begitu juga Filipina,
Thailand dan tahun lepas di Tunisia, Libya serta Mesir.
“Bagaimanapun di Malaysia kita tetap mahu menggunakan saluran pilihan raya bagi mengubah kerajaan,” katanya.
Beliau
juga melahirkan rasa kagum sokongan masyarakat bukan Islam kepada PAS
sekarang, di mana sebelum ini ia tidak pernah terfikir.
Katanya,
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan
perubahan itu dengan mengajak orang Cina dan bukan Islam mendekati
program yang diadakan di masjid.
“Dahulu
orang Cina yang tinggal di sebelah masjid pun kita tidak ajak datang,
namun sekarang sudah jauh berubah apabila pemimpin masyarakat Cina sudah
banyak memahami mengenai Islam,” katanya.
Sementara
itu sempena muktamar tersebut Pemuda PAS Machang memenangi anugerah
pengurusan terbaik keseluruhan, manakala Pemuda PAS Kubang Kerian
(Pengurusan Pasti terbaik).
Pemuda
Kota Bharu (Penambahan Ahli UKJ) dan Pemuda PAS Pasir Puteh menerima
anugerah Pengurusan Jabatan Pilihan Raya Terbaik. Kesemua hadiah
disampaikan Timbalan Presiden.-HD
No comments:
Post a Comment